Followers

Friday, December 11, 2009

Terus Belajar




Firman ALlah yang bererti : .. Dan ALLah meninggikan orang-orang beriman di antara kamu dan orang yang diberikan ilmu beberapa darjat (surah al Mujaadalah ayat 11)
Tholabul Ilm Faridotun "ala kulli Muslim - Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap individu Muslim

Seseorang yang keluar untuk menuntut ilmu, maka dia dikira berada di atas jalan menegakkan agama ALlah sehingga ia pulang (riwayat at Tirmizi)

Banyakkan ilmu sahabat, entah kengkadang otak kita ini bebal nak memahami sesuatu kerana kita pun tidak faham - sebab pertamanya dia tak reti nak bercakap, loghat bahasa tak sama, ilmu yang dia kata tinggi levelnya.

Orang kiri kanan mentertawakan, sebab kita tak tahu apa yang kita percakapkan. Ada terkadang kita ingin juga berkata tentang sesuatu tetapi tidak ada maklumat yang cukup. Lalu atas 'kecelakaan' itu, kita telah menyonsang dalam percakapan.

Firmn Allah yang bererti : Katakanlah lagi (kepadanya) : Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?... (surah az Zumar ayat 9)

Zaman ini, orang yang tiada ilmu maka dia ketinggalan, dirinya di dalam keadaan yang amat berbahaya sekali. Kesandung sedikit akan mendasar jauh kelemasan dalam kejahilan. Maklum zaman ini banyak putar belitnya - bukan kerana zaman, tapi orang yang melalui zaman.

Banyakkan ilmu sahabat, jika kamu orang Islam yang beriman - tauhid itu kena kenal, hayati, hadamkan, feqah itu perlu faham, akhlak dijadikan pakaian. Semuanya ini terangkum di dalam ilmu jua. Bidasan itu pedas, untuk menjawab bidasan perlu ada ilmu. Ilmu itu akan mengangkat darjat. Dipandang mulia oleh Allah - selagi ia berlandaskan Al Quran dan Sunnah serta ijmak.

Belajarlah! Takada bayi yang begitu lahir langsung menjadi ilmuan, dan tak sama antara ilmuwan dan orang bodoh. Sebesar apapun sebuah negara , ia akan bernilai kecil jika penduduknya tidak berilmu, apabila dibandingkan negara kecil yang banyak penduduknya berilmu. Sekecil apapun negara, akan lebih kuat bila penduduknya berilmu. Sesungguhnya negara itu besar jika dibandingkan dengan umumnya negara-negara lain.

Monday, December 7, 2009

TIPS BINA SEMANGAT DIRI


Pernah anda terfikir tentang keyakinan diri? Kadang-kala kita terlupa yang keyakinan diri perlu ada untuk segala situasi. Tanpa keyakinan diri mungkin semangat cepat hilang dan lemah seterusnya akan memberikan kesan negatif kepada kehidupan seharian. Bayangkan jika kita impikan sesuatu tetapi kita tidak mempunyai keyakinan yang tinggi untuk berusaha mencapainya. Sudah pasti kegagalan akan menjadi milik kita. Disini terdapat empat tips untuk membina keyakinan diri. Cuba praktikkan dan lihat hasilnya.

1) Jangan sesekali memandang rendah pada diri sendiri. Kenapa anda perlu membesarkan lagi kesilapan yang dilakukan sedangkan anda masih punya lebih banyak keutamaan yang perlu diberi tumpuan utama? Apa kata kalau anda suruh seorang teman memberi ingatan kepada anda setiap kali anda merendahkan diri sendiri. Dari sini anda boleh lihat berapa kerap anda berbuat demikian tanpa disedari. Jadi anda pasti akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

2) Tingkatkan pencapaian diri. Kadang-kala anda sendiri tidak pasti sama ada diri anda berkualiti atau sebaliknya. Seringkali apa yang anda lakukan seharian langsung tidak memberikan sebarang faedah. Salah satu cara mudah untuk mengelakkan keadaan ini terus berlaku adalah dengan mencatat apa saja aktiviti ke dalam buku kecil atau diari. Setiap malam sebelum tidur, senaraikan perkara baik yang anda lakukan pada hari tersebut. Mungkin anda akan rasa terperanjat bila mendapati banyak perkara menarik dan berfaedah yang telah dilakukan sepanjang hari tersebut.

3) Kurniakan hadiah untuk diri sendiri. Tidak ramai orang yang terfikir untuk melakukannya sekiranya anda berjaya melakukan sesuatu perkara yang mengembirakan. Apa kata anda mengucapkan tahniah kepada diri sendiri dan berikan hadiah tertentu yang anda gemari. Sebenarnya ia dapat membantu meningkatkan lagi kenyakinan diri seseorang dan anda pasti akan lebih menghargai diri anda sendiri selepas ini.

4) Jaga diri sendiri. Pastikan pemakanan anda sihat dan seimbang serta melakukan senaman. Apabila diri anda lebih sihat ia pastinya akan memberikan anda kuasa tambahan serta menambahkan rasa yakin diri. Anda juga akan merasa lebih gembira. Percayalah!

Sumber : Majalah Media Hiburan

Sunday, December 6, 2009

Ilmu Menjadikan Kita Takut Kepada Allah

Oleh : PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


orang beriman yang puasa tidak akan melakukan perkara yang membatalkan amalan itu sama ada semasa bersendirian atau di hadapan orang lain. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------


Pada hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan ulama. Di masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu semakin rancak diadakan.

Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segenap lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan hatta terdapat masjid yang mengadakan majlis pengajian pada setiap malam. Ini suatu perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam di negara ini dan agama Islam itu sendiri.

Persoalannya, apakah ilmu yang mereka perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?

Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya:

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.
(al-Faatir: 28)
Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.

Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.

Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.

Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.

Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata,

"Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati".
Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.

Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.

Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata:

"Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT".
Abu Muhammad r.a pernah ditanya:

"Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri".
Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan:

"Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah".
Al Wasiti r.a berkata:

"Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT".
Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya".

Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.

Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.

Sebahagian Salaf berkata:

"Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)".
Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a:

"Apakah ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".
Beliau berkata lagi:

"Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih-
kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.
"Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia".

Allah SWT berfirman (maksudnya):

Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
(al-Rum: 7)
Rasulullah SAW bersabda:

"Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)".
(riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)
Fudhail ibn 'Iyadh berkata:

"Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain".
Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.

Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.

Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat.

Ini kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan berwuduk adalah untuk melakukan solat.

Berkata sebahagian ulama:

"Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis".




Sumber : YayasanSofa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...