Followers

Friday, December 10, 2010

LATAR BELAKANG SEJARAH HIJRAH


Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis bahawa Rasulullah saw bersabda:



المُهاَجِرُ مَنْ هَجَرَ السُّوْءَ فَاجْتَنَبَهُ

Yang bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan kejahatan, maka dia menjauhinya.” (Hadis riwayat Ahmad)


Dalam makna lebih luas, hijrah difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.



Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad tetapi turut dilakukan oleh nabi yang lain atas perintah Allah. Nabi Ibrahim umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat yang lain seperti mana firman Allah:



فَآمَنَ لَهُ لُوطٌ وَقَالَ إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَى رَبِّي إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ



Yang bermaksud: “Setelah Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ankabut, ayat 26).



Di samping Nabi Ibrahim, Nabi Musa juga diarahkan berhijrah kerana ancaman pembunuhan terhadap baginda. Selain itu, banyak ayat al-Quran yang menerangkan peristiwa hijrah Nabi Musa ke tempat Madyan, atas cadangan seorang lelaki yang mengetahui ada pakatan bunuh terhadap Nabi Musa. Selain Nabi Ibrahim dan Nabi Musa, Nabi Noh juga diperintahkan berhijrah kerana akan berlaku banjir besar.



Bagaimanapun dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun pula lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah. Peristiwa ini berlaku pada 632 Masihi disebabkan beberapa faktor antaranya ancaman daripada kaum Quraisy terhadap umat Islam. Malah, beberapa bulan sebelum hijrah, Rasulullah turut dihina penduduk Thaif yang angkuh dengan dakwah baginda. Justeru, bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah mengarahkan pengikut baginda keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali Yathrib).



Suatu hari pada 622SM, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah diberitahu bahawa kaum kafir Quraisy Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam. Lalu Allah menurunkan wahyu memerintahkan baginda meninggalkan Madinah waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat, Abu Bakar as-Siddiq dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan berkenaan. Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib supaya menggantikan tempat tidur baginda.



Pada malam itu, sekumpulan Quraisy mengepung rumah Rasulullah dengan niat mahu membunuh baginda. Selepas mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang lelaki sedang tidur di atas katil Rasulullah. Lalu, mereka begitu yakin bahawa Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan hampir pasti dapat membunuh baginda.



Bagaimanapun, apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali yang tidur di tempat berkenaan.Akibatnya, kaum Quraisy terpinga-pinga memikirkan bilakah Rasulullah keluar dari rumah berkenaan. Bagaimanapun, kaum Quraisy tetap mahu membunuh baginda dan mereka bersepakat mencari segenap pelusuk bagi menyempurnakan niat jahat itu. Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari Makkah pada malam itu dan tidak ada sesiapa yang mengetahui arah tujuan mereka serta tempat persembunyian baginda kecuali Aishah dan Asma’ serta orang gaji mereka, Abdullah.



Ketika hendak meninggalkan kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah, baginda s.a.w. pernah berkata: “Demi Allah wahai Makkah! Sesungguhnya engkau adalah tanah yang paling kucintai di bumi Allah ini sekiranya pendudukmu tidak mengusirku keluar.” Selepas itu, baginda dan Abu Bakar bertolak ke Gua Thur, tidak jauh dari bandar Makkah. Ada riwayat menyatakan baginda ke sana pada 27 Safar.



Setiba di Gua Thur, Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di situ selama tiga hari. Dalam saat getir itu, kaum Quraish masih mahu membunuh baginda. Mereka menghampiri gua berkenaan tetapi gagal menemui Rasulullah di situ. Mereka berpendapat, gua itu tidak berpenghuni selepas melihat sarang labah-labah yang masih elok menutupi kawasan berkenaan. Selepas kaum Quraisy beredar, Rasulullah dan Abu Bakar meneruskan perjalanan dengan menaiki unta yang dibawa orang gaji mereka, Abdullah.



Kaum Quraisy di Makkah kian marah dengan kehilangan Rasulullah. Mereka menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap baginda. Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah, Rasulullah dan sahabat tiba di perkampungan kaum Bani Sabin. Penduduk di situ menyambut rombongan baginda dengan gembira.



Selepas sekian lama, Rasulullah dan sahabatnya akhir merasakan bakal menemui kejayaan. Ketika Rasulullah dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan baginda. Malah, penduduk Madinah yang baru memeluk Islam gembira untuk menemui Rasulullah.



Maka, pada Jumaat, Rasulullah akhirnya diumumkan sudah tiba di Madinah. Ada riwayat menyatakan baginda sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awal. Ketika itu, kaum Muslim keluar menyambut baginda. Rasulullah menunaikan solat di masjid di Lembah Ranuqna, tempat umat Islam berkumpul untuk melihat kelibat lelaki mereka sanjungi itu.



Sebaik sampai ke Madinah, Rasulullah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar berdasarkan firman Allah:



إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

Yang bermaksud: “Hanya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)



Juga berdasarkan sabda Rasulullah:



المُسْلَمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَثْلِمُهُ، مَنْ كاَنَ فيِ حاَجَةِ أَخِيْهِ كاَنَ اللهُ فيِ حاَجَتِهِ

Yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim lain; dia tidak menzaliminya dan tidak boleh mengaibkannya. Dan sesiapa menunaikan hajat saudaranya, Allah tetap akan menunaikan hajatnya pula.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Baginda juga membina Masjid Nabawi. Tempat itu asalnya adalah sebuah dusun kurma kepunyaan Bani Najjar yang diwakafkan untuk tujuan berkenaan. Rasulullah menyegerakan pembinaan masjid di Madinah adalah untuk dijadikan pangkalan bagi sebuah negara baru yang ditegakkan baginda. Di sinilah segala kegiatan masyarakat dijalankan. Sesungguhnya, hijrah Rasulullah bersama sahabat baginda bukan bertujuan melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa, tetapi kerana suatu tujuan yang lebih besar yakni meneruskan perjuangan ke arah mendaulatkan agama Islam.

Wednesday, November 17, 2010

Salam idul Addhar 1431H

Labaikallah humma labaika. Labaikallah syarika laka labaika. Innalhamda wani’mata. La ka Wamulkalla, syarikala

Salam Aidiladha 1431h daripada Musafir_Islam Dengan ini ana ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya AidilAdha.. Kepada Seluruh kaum muslimin dan muslimat..

Apakah Makna Hari Raya Aidiladha.. Bilakah umat islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha.. Adakah Hari Raya Aidiladha hanya disambut di mekah.. Aidiladha dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji dirayakan di seluruh dunia.. Ia merupakan hari raya yang terbesar di dalam islam selain Aidilfitri. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah..

Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi Hari Raya Korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua. Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban.Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.


Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin. Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

Marilah kita sama-sama menghayati Apakah pengorbanan yang kita telah lakukakan? Tidak kiralah kepada diri sendiri, ibubapa, sanak saudara, saudara se-islam kita yang hidup atas kalimah syahadah ASH-HADU AN LA ILAHA ILLA LLAH WA ASH-HADU ANNA MUHAMMADA RRO SULU LLAH dan yang paling penting kepada Allah Rabbul Jalil, Pemilik seluruh alam.

Salam Aidiladha 1431H.. Semoga jemaah haji kita pada tahun ini memperoleh haji yang mabrur serta mendapat keampunan dari Allah..

Tuesday, November 16, 2010

Hari Arafah


Hari Arafah


i. Bagi penduduk Makkah, Hari Wukuf di Arafah adalah sehari sebelum Hari Nahar (Idul Adha)mengikut ketentuan kerajaan Arab Saudi.
ii. Bagi negara atau kawasan yang berlainan terbit matahari, penentuan 9 Zulhijjah adalah mengikut ketentuan imkanur-rukyah negara masing-masing.
iii. Hari Arafah (9 Zulhijjah) mempunyai keistimewaan tertentu yang sewajarnya diambil kesempatan oleh kaum muslimin.
iv. Masa berpuasa Arafah adalah 9 Zulhijjah mengikut ketentuan rukyah awal bulan Zulhijjah negara masing-masing.


Penjelasan Hadis “Al-Hajj Arafah”


Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya;
“Ibadat Haji itu (sah dengan wukuf) di Arafah”.


i. Sanad dan matan hadis

Maksudnya;
…Dari Abdul Rahman bin Ya’mur berkata bahawasanya ada seorang lelaki daripada ahli Najd berjumpa Rasulullah s.a.w. Waktu itu Rasulullah s.a.w. berada di Arafah. Maka lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan seorang penyeru untuk menyeru “Al-Hajj Arafah!”. Ertinya; “Ibadat haji itu (sah dengan wukuf) di Arafah…”.
(Riwayat Imam al-Tirmizi)


Wukuf di Arafah itu adalah satu rukun yang terpenting dalam ibadat haji, tanpa wukuf haji seseorang itu tidak sah.


Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda:


Maksudnya;
Dari Abdul Rahman bin Ya’mar al-Diliy berkata, aku datang kepada Rasulullah s.a.w. semasa di Arafah maka satu kumpulan dari ahli Najd mengarahkan seorang lelaki bertanya persoalan ibadat haji kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda menjawab; “al-Hajj Arafah”.
(Riwayat Imam Abu Daud)

ii. Maksud hadis
Al-Syeikh ‘Izzuddin Abd al-Salam berkata “al-Hajj Arafah”,
Maksudnya;
“Maksud daripada “Al-Hajj Arafah” ialah ibadat haji itu dapat sempurna (sah) dengan wukuf di Arafah”.


Al-Syaukani berkata “Al-Hajj Arafah”,
Maksudnya;
“Maksud daripada “Al-Hajj Arafah” ialah ibadat haji yang sah adalah jemaah haji yang dapat wukuf di Arafah”.


iii. Fiqh al-Hadis
Seorang tokoh ulama’ al-Syafi’iyyah iaitu Imam Abu Ishak al-Syirazi berkata:
Maksudnya;
Wukuf di Arafah itu adalah satu rukun daripada rukun-rukun ibadat haji, sebagaimana riwayat Abdul Rahman al-Diliy bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Ibadat haji itu sah dengan wukuf di Arafah, maka sesiapa yang dapat berwukuf di Arafah sebelum terbit fajar pada Hari Wukuf, sesungguhnya dia telah dapat menyempurnakan ibadat haji”.

Al-Syeikh Zainuddin Abdul Aziz al-Malibari menjelaskan dalam kitabnya
Maksudnya;
Rukun ibadat haji yang kedua ialah wukuf di Arafah iaitu menghadirkan diri di bumi Arafah, di mana-mana jua daripada kedudukan Arafah walaupun seketika, sekalipun dia tidur atau lalu di bumi Arafah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, “Al-Hajj Arafah”.

Al-Imam al-‘Allamah Taqiyyuddin Abi Bakar bin Muhamad al-Husaini mengulas lebih lanjut berhubung “Al-Hajj Arafah”,
Maksudnya;
“Rukun yang terpenting daripada rukun-rukun ibadat haji itu ialah wukuf di Arafah sebagaimana kamu kata yang terpenting di dalam rakaat itu adalah ruku’”.


Oleh yang demikian, hadis “Al-Hajj Arafah” menerangkan:
1) Bahawa wukuf di Arafah adalah salah satu daripada rukun-rukun ibadat haji.
2) Hadis di atas tiada kaitan dengan penentuan Idul Adha kerana para ulama’ al-Syafi’iyyah tidak menghubungkan hadis di atas dengan penentuan tarikh Idul Adha.
Sebenarnya hadis di atas merupakan salah satu dalil dan hujah yang menolak penentuan Idul Adha disambut mengikut Idul Adha di negara Arab Saudi. Hadis tersebut tidak menunjukkan sebarang isyarat bahawa Idul Adha itu tertakluk dengan wukuf di Arafah terutamanya negara-negara yang tidak sama terbit matahari dengan negara Arab Saudi.


Dalil Dan Hujah Yang Menolak Penentuan Idul Adha Disambut Mengikut Idul Adha Di Negara Arab Saudi (Sehari Selepas Hari Wukuf Di Arafah)


i. Hadis dari Ummi Salamah:
Maksudnya;
Daripada Ummi Salamah bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda; “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya”.
(Riwayat Imam Muslim)


Hadis di atas menjelaskan bahawa penentuan Idul Adha itu khususnya bagi penduduk luar daripada negara Arab Saudi dan negara yang tidak sama terbit matahari seperti Malaysia adalah berdasarkan kepada rukyah anak bulan Zulhijjah dan tidak ditentukan berdasarkan Hari Wukuf di Arafah. Adapun penentuan Idul Adha bagi negara Arab Saudi adalah dengan rukyah anak bulan bagi menentukan tarikh wukuf di Arafah.


Malahan hadis di atas juga memberikan panduan agar ketetapan 1 Zulhijjah atau 2 Zulhijjah atau 9 Zulhijjah (Hari Wukuf) adalah berdasarkan rukyah. Begitu juga 10 Zulhijjah (Idul Adha).

ii. Hadis dari Abi Hurairah r.a.
Maksudnya;
Daripada Abi Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda; “Puasa itu (permulaannya) adalah pada hari kamu berpuasa (bulan Ramadhan) dan Hari Raya Puasa (Idul Fitri) adalah hari di mana kamu berhari raya dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”.
(Riwayat Imam al-Tirmizi)


Merujuk kepada petikan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”, Rasulullah s.a.w. menetapkan agar ibadat korban itu dilaksanakan pada Hari Raya Korban (Idul Adha) dan hari-hari Tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijjah).


Hadis di atas menunjukkan bahawa ibadat korban tiada kaitan dengan penentuan ibadat haji yang dilaksanakan di Arab Saudi (sehari selepas wukuf di Arafah). Ia sunat muakkad bagi orang yang mengerjakan haji dan umat Islam di seluruh dunia. Oleh itu, Idul Adha (Hari Raya Korban) mestilah berdasarkan penentuan awal bulan Zulhijjah iaitu dengan rukyah anak bulan Zulhijjah sebagaimana yang diamalkan oleh negara anggota MABIMS iaitu negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura yang bersepakat menggunakan kaedah rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (kiraan falak) berdasarkan kriteria Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan).


iii. Hujah Mazhab al-Syafi’i
Rukyah (melihat anak bulan) mestilah tertakluk kepada matla’ yang menunjukkan kepada waktu terbit matahari dan waktu terbit bulan. Mazhab Syafi’i merujuk kepada dalil sunnah, qias dan logik iaitu:


a- Sunnah
Maksudnya;
Kuraib menceritakan bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Syam. Kuraib berkata, “Aku tiba di Syam dan menunaikan hajatnya sedangkan pemberitahuan dan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah al-Munawwarah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan”. Katanya, “Bilakah kamu melihat anak bulan?”. Aku menjawab, “Kami melihat pada malam Jumaat!”. Ibnu Abbas bertanya lagi katanya, “Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?”. Aku menjawab, “Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa”. Ibnu Abbas berkata, “Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal”. Aku bertanya, “Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?”. Ibnu Abbas menjawab, “Tidak! Beginilah caranya Rasulullah s.a.w. menyuruh kami”.
(Riwayat Imam Muslim)


Hadis ini menunjukkan bahawa Ibnu Abbas tidak mengambil kira rukyah penduduk Syam dan tidak menjadi wajib atas penduduk satu-satu negeri beramal dengan rukyah yang berlaku di negeri lain (berlainan matla’).


Hadis Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya;
Daripada Ibni Umar r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. “Satu bulan mengandungi 29 hari, oleh itu jangan kamu berpuasa (di bulan Ramadhan) hingga kamu melihat anak bulan (Ramadhan) dan jangan kamu berbuka (berhari raya) hingga kamu melihat anak bulan (Syawal). Jika terlindung hilal daripada pandangan kamu, sempurnakan bilangan anak bulan itu (30) hari”.
(Riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad)


Hadis ini menunjukkan bahawa wajib puasa tertakluk kepada rukyah (melihat anak bulan), sungguhpun begitu tidaklah dikehendaki setiap orang melihat anak bulan. Jika mendung berlaku pada malam itu, sempurnakanlah bilangan bulan 30 hari (atau dengan perisytiharan dari pemerintah).


b- Qias
Ulama’ Mazhab Syafi’i mengqiaskan perbezaan terbit bulan dengan perbezaan terbit matahari yang membawa kepada berlaku perbezaan waktu solat.


c- Hukum akal
Syarak telah mengaitkan wajibnya berpuasa dengan timbulnya bulan Ramadhan dan permulaan Ramadhan adalah berbeza disebabkan oleh perbezaan negeri-negeri yang membawa kepada perbezaan mula berpuasa di negeri-negeri yang berlainan.



iv. Penggunaan Istilah
Istilah “Idul Adha” amat masyhur digunakan dalam hadis-hadis dan kitab-kitab feqah. Masyarakat Islam di Malaysia kebiasaannya menggunakan istilah “Hari Raya Korban” yang sememangnya bertepatan dengan istilah Idul Adha. Akan tetapi tidak ada kitab hadis dan feqah yang menggunakan istilah “Idul Hajj” yang juga disebut oleh sesetengah masyarakat Islam sebagai “Hari Raya Haji”. Ini adalah satu kesilapan. Sebenarnya istilah yang wujud hanyalah “Idul Adha” yang dirayakan oleh seluruh umat Islam di dunia sama ada yang mengerjakan haji atau tidak.


Ibadat Puasa Sunat 9 Zulhijjah


Sanad dan matan hadis
i. Matan hadis yang dibahaskan:
Maksudnya;
Ditanya kepada Rasulullah s.a.w. berhubung puasa pada hari Arafah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda; “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas”.
(Riwayat Imam Muslim)

ii. Makna potongan hadis:
Al-Syeikh Sulaiman al-Bajairami menjelaskan;
Maksudnya;
“Yang dikehendaki dengan makna tahun sebelum hari Arafah ialah tahun yang sempurna (cukup 12 bulan) hingga sampai bulan Zulhijjah”.

iii. Fiqh al-Hadis:
Berdasarkan hujah riwayat Imam Muslim, Imam al-Nawawi sebagai mujtahid mazhab al-Syafi’i mensabitkan bahawa berpuasa pada hari Arafah itu adalah sunat. Dengan sebab itulah Imam al-Nawawi meletakkan puasa pada hari Arafah di dalam “Bab Puasa Sunat”.


iv. Pelaksanaan Ibadat Puasa Sunat 9 Zulhijjah


a- Siapakah yang disunatkan berpuasa hari Arafah dan bilakah waktunya?
Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan kenyataan Imam al-Nawawi berhubung dengan berpuasa pada hari Arafah;
Maksudnya;

“Dan berpuasa pada hari Arafah itu adalah pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan haji berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim (Puasa pada hari Arafah dihitung di sisi Allah menghapuskan dosa seseorang pada tahun sebelum dan tahun selepas)”.
Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan lagi;
Maksudnya;
“Adapun bagi orang yang mengerjakan ibadat haji maka tidak disunatkan baginya berpuasa pada hari Arafah bahkan disunatkan bagi dirinya berbuka puasa sekalipun dia berkemampuan untuk berpuasa. Ini kerana mengikut amalan baginda Muhammad s.a.w. berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim. Dan hendaklah orang yang mengerjakan ibadat haji banyak berdoa.

Maka berpuasa pada hari Arafah bagi orang yang mengerjakan ibadat haji itu adalah menyalahi yang terlebih utama”.

Al-Syeikh Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli menambah;
Maksudnya;
“Dan pendapat fuqaha’ yang lemah bahawa makruh bagi orang yang mengerjakan ibadat haji itu berpuasa pada hari Arafah. Ini kerana hadis riwayat Abi Daud bahawasanya Rasulullah s.a.w. menegah berpuasa pada hari Arafah bagi orang yang mengerjakan ibadat haji di Arafah. Ahli hadis menganggap hadis ini adalah daif kerana terdapat majhul pada sanadnya (perawi yang tidak dikenali)”.

b- Bagaimana pelaksanaan puasa sekiranya berlaku syak berhubung tarikh 9 Zulhijjah?
Syeikh Syihabuddin dalam kitab Umairah menyatakan;
Maksudnya;
“(Dan hari Arafah) dan sekiranya berlaku syak berkenaan hilal Zulhijjah maka tiada haram dan tiada makruh berpuasa pada hari Arafah sebagaimana berpuasa pada hari yang ke-30 Ramadhan setelah syak pada kedudukan hilal awal Ramadhan”.

Al-Syeikh Zainuddin Abdul Aziz al-Malibari menambah;

Maksudnya;
“Dan lebih cermat lagi berhati-hati, berpuasalah pada 8 dan 9 Zulhijjah”.

Al-‘Allamah Abi Bakar Usman bin Muhammad Syata al-Dumyati mengulas;
Maksudnya;
“Kerana bahawasanya (berpuasa pada hari yang ke-8 Zulhijjah itu) kadang-kadang jatuh pada 9 Zulhijjah”.

c- Adakah puasa hari Arafah (9 Zulhijjah) mengikut negara Arab Saudi ataupun mengikut matla’ negara masing-masing?
Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan matan Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi;
Maksudnya;
“Dan apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq”.
Maksud di dalam negara yang satu ialah matla’ yang sama. Bagi matla’ Malaysia adalah terletak di dalam matla’ Asia Tenggara. Oleh itu sewajarnya penentuan tarikh Idul Adha mengikut persetujuan Majlis Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama MABIMS.


Kesimpulan
Fahaman yang menyatakan “Idul Adha” disambut berdasarkan ketentuan Hari Wukuf di Arafah (sama dengan Arab Saudi) bagi negara yang tidak sama matla’ dengan Arab Saudi adalah tertolak dan tidak boleh diterima.


Ini kerana Hari Wukuf di Arafah dan “Idul Adha” adalah tertakluk kepada penentuan awal Zulhijjah menurut hisab penentuan awal bulan hijriah, ia mengambil kira cara anak bulan dilihat (Imkanur-rukyah) iaitu:

“Hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut:
a) Ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada 2º dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3º,
ATAU
b) Ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada 8 jam selepas ijimak berlaku”.
Sumber:

TAFSIRAN HADIS “AL-HAJJ ARAFAH”
DAN IBADAT PUASA SUNAT 9 ZULHIJJAH
Oleh:
Dato’ Haji Nooh bin Gadut
Mufti Negeri Johor
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...