Followers

Thursday, July 23, 2009

Syaaban 1430H



Pendahuluan


Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).


Fadhilat Syaaban


Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.


Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:


• Memperbanyakkan puasa sunat Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."


• Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)


• Bertaubat Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."


Sebagai persiapan untuk menghadapi Ramadan apakah amalan yang disunatkan Rasulullah pada Syaaban? Sebenarnya pada bulan ini Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa hingga diriwayatkan Baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan itu.

Aisyah berkata:

“Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berbuka dan Baginda berbuka hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada Syaaban.” (Hadis riwayat al-Bukhari)


Selain amalan berpuasa, tiada hadis sahih menunjukkan Baginda SAW mengkhususkan amalan tertentu sempena Syaaban. Namun, amalan sunah lazimnya dilakukan tanpa mengkhususkan waktu tertentu seperti membaca al-Quran, mengerjakan solat sunat, berzikir dan berdoa.

Mengenai hikmah Rasulullah SAW meningkatkan amalan puasa pada Syaaban, Al-Hafiz Ibn Hajar mengulas dalam Fath al-Bari: “Hikmah lebih tepat untuk dikatakan berhubung persoalan ini, iaitu meningkatkan amalan puasa pada Syaaban adalah seperti yang disebutkan hadis dengan darjat lebih sahih daripada hadis terdahulu.

Hadis diriwayatkan oleh al-Nasaai dan Abu Daud, disahihkan Khuzaimah daripada Usamah bin Zaid katanya: “Aku bertanya Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah, Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat al-Nasaai)

Oleh itu, sewajarnya kita menyambut kedatangan Syaaban dengan menggandakan ibadat puasa. Namun, ada beberapa perkara sering diperdebatkan mengenai puasa pada Syaaban iaitu adakah dibolehkan berpuasa pada keseluruhan Syaaban dan larangan berpuasa selepas pertengahan bulan ini.
Ulama berbeza pendapat sama ada dibenarkan berpuasa sepanjang Syaaban. Sebahagian pendapat mengatakan kadangkala Nabi SAW berpuasa pada keseluruhan bulan Syaaban dan ada kalanya baginda berpuasa pada sebahagian besar Syaaban saja.

Sebahagian lain berpendapat Baginda tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan lain menurut kalendar hijrah kecuali Ramadan al-Mubarak. Manakala Baginda hanya berpuasa sebahagian besar hari pada Syaaban. Perbezaan pendapat ini disebabkan wujudnya hadis Nabi SAW yang menunjukkan Baginda pernah berpuasa sepanjang Syaaban dan ada pula yang menidakkannya.

Daripada Abu Salamah, Aisyah berkata: “Nabi SAW tidak berpuasa pada satu bulan yang lebih banyak berbanding Syaaban. Sesungguhnya Baginda berpuasa sebulan penuh.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Bagaimanapun, hadis di atas seakan-akan bercanggah dengan hadis daripada Aisyah yang menurutnya Nabi SAW hanya berpuasa sepanjang bulan pada Ramadan.

Bagi menghilangkan percanggahan yang timbul, Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa hadis menunjukkan Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh Syaaban sebenarnya hanya menunjukkan baginda biasa berpuasa sebahagian besar pada bulan itu.

Tambahnya lagi: “Imam al-Tirmizi menukilkan daripada Ibn al-Mubarak katanya: Menurut bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar daripada sesuatu bulan, maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan seseorang itu solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain.”

Selanjutnya berkaitan perbezaan pendapat ini, Al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan: “Tetapi, jelas sekali pendapat ini (boleh berpuasa sebulan penuh ketika Syaaban) seakan-akan terpaksa. Namun, pendapat paling sahih adalah pendapat pertama, iaitu Baginda hanya berpuasa sebahagian besar daripada Syaaban.

Ia dikuatkan lagi melalui riwayat Abdullah bin Syaqiq yang dinukilkan daripada Aisyah serta dikeluarkan oleh al-Nasaai yang berbunyi: “Baginda SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh sejak datang ke Madinah selain Ramadan.”

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis yang melarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum puasa Ramadan bermula. Menurut Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan sekali-kali salah seorang antara kamu semua mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari kecuali orang yang sudah biasa berpuasa pada hari itu. Justeru, dia bolehlah berpuasa pada hari itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Tanggapan dilarang berpuasa pada Syaaban selepas memasuki hari ke 15 bersandarkan kepada hadis Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika memasuki pertengahan Syaaban, janganlah kamu semua berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sebenarnya tidak wujud percanggahan antara hadis melarang berpuasa selepas pertengahan bulan Syaaban dan hadis yang membenarkannya. Jumhur ulama membolehkan berpuasa pada Syaaban diteruskan walaupun selepas pertengahan bulan.

Jelas di sini Nabi SAW berpuasa pada sebahagian besar Syaaban. Justeru, marilah kita hidupkan Syaaban dengan memperbanyakkan ibadah puasa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...