Followers

Tuesday, July 28, 2009

Yusuf Islam bantu pengislaman Idris

ARKIB : 07/05/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI



Yusuf Islam bantu pengislaman Idris

Idris tawfik semasa melawat penduduk Gaza yang menjadi mangsa keganasan Israel di Hospital al Nasr, Kaherah, Mesir atas dasar keprihatinan tinggi beliau terhadap saudara sesama Islam.
________________________________________

TAHUKAH anda, kedua-dua ayat surah al-Maidah itu membuka pintu hati seorang paderi Gereja Katholik Roman di Britain memeluk Islam!
Bekas paderi itu, Idris Tawfik pada mulanya sekadar membaca makna ayat kalam suci al-Quran itu di hadapan anak-anak muridnya ketika bertugas sebagai Ketua Pengajian Agama-agama di beberapa buah sekolah di England dan Wales.

"Tetapi pada suatu hari, saya seolah-olah disedarkan oleh ayat-ayat di atas ditujukan kepada saya. Bahawa tidak ada bezanya kerana saya merupakan pendita dan ahli ibadat (Nasrani) seperti yang disebut dalam ayat itu.

"Sejak itu saya sering tertanya-tanya, adakah saya orangnya yang Allah maksudkan untuk akhirnya mengakui mengenai kebenaran al-Quran dan menerima kerasulan Nabi Muhammad?," ujarnya. Seusai memeluk Islam, Idris akui tidak menyesal mengenang masa silamnya yang pernah menjadi orang kepercayaan kuat gereja. Termasuk menghabiskan lima tahun masa pengajian beliau di Vatican City semata-mata untuk menjadi seorang paderi yang berwibawa.

"Untuk tempoh beberapa tahun, saya gembira menjadi paderi terutama menolong mereka yang memerlukan bantuan. Namun jauh di sudut hati, saya tidak dapat menipu diri sendiri apabila akhirnya saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena yang begitu menganggu hati dan perasaan saya," katanya. Semuanya bermula apabila Idris memutuskan untuk tidak lagi bertugas di Vatican atas alasan, hatinya begitu tertarik melawat Mesir.

"Sebelum ini saya sering menganggap Mesir hanyalah sebagai negara yang sinonim dengan monumen ajaib iaitu piramid-piramid, unta-unta, padang pasir dan pohon-pohon palma.
"Tetapi sebaik tiba di Kaherah, pertama kali saya mengenali Islam di sini dengan lebih jelas. Saya dapati penduduk Islam Mesir mempunyai hati yang lembut, baik hati serta mempunyai hati dan semangat yang kuat," kata Idris. Sebelum ini seperti rakyat Britain yang lain, Idris juga mengenali Islam sebagaimana yang mereka ikuti daripada laporan media. Terutama televisyen yang hanya menyiarkan mengenai serangan bom dan lain-lain tindakan ganas yang kononnya mempunyai kaitan dengan pejuang dan ajaran Islam.

Tertarik dengan Mesir


"Tetapi apabila saya berada di Mesir, saya mendapati agama ini sungguh cantik. Saya amat tertarik melihat para peniaga yang memenuhi jalan-jalan meninggalkan barang jualan mereka begitu sahaja untuk berhenti, mengadap Allah dan menunaikan solat sejurus mereka mendengar azan dilaungkan dari puncak-puncak menara masjid.

"Cara mereka segera menunaikan solat itu seolah-olah bukan sahaja kerana percaya mengenai kewujudan Allah, malah mereka tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan Tuhan," katanya.
Sekembali dari Mesir, Idris menyambung tugasnya sebagai guru Pengajian Agama-Agama, iaitu perbandingan ajaran mengenai Kristian, Islam, Yahudi, Buddha dan pelbagai agama lagi.

"Setiap hari saya mesti membaca mengenai agama-agama ini bagi membolehkan saya mengajar dengan baik terutama kepada anak-anak murid yang kebanyakannya terdiri dari anak pelarian dari negara-negara Islam.

"Berbanding anak murid dan remaja-remaja lain, saya dapati anak-anak pelarian ini berbeza kerana mempunyai sahsiah diri yang baik, sopan dan berbudi bahasa. Hasilnya, mampu menjadi seperti sahabat yang baik dan saya tidak bermasalah apabila mereka meminta kebenaran menggunakan kelas saya bagi mendirikan sembahyang terutamanya pada bulan Ramadan," kata Idris.
Ketika mereka mendirikan ibadat itulah, Idris tertarik melihat setiap kali mereka solat. Kadang kala beliau ikut berpuasa Ramadan walaupun ketika itu Idris masih lagi Kristian.

"Dan pada peringkat saya membaca petikan daripada ayat 83 surah al-Maidah yang bermaksud, Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (al-Quran).


"Tidak semena-mena hati saya begitu sayu oleh makna ayat itu. Saya tidak mampu menahan air mata yang gugur walaupun berusaha untuk melindungnya daripada dilihat oleh anak murid," katanya. Detik perubahan yang besar dalam hidup bekas paderi ini berlaku selepas serangan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001.

"Ketika itu seluruh warga Barat terus menuding jari kepada Islam yang menjadi punca serangan dan menyebabkan kematian ribuan penduduk awam tetapi saya berpendapat sebaliknya.

"Mengapa Islam hendak dipersalahkan sedangkan terdapat juga keganasan yang dianjurkan oleh orang Kristian dan mengapa mereka tidak dipersalahkan.

"Sebabnya, Islam yang saya kenali dan saya lalui bersama dengan penganut agama itu sebelum ini menunjukkan agama itu sangat menentang keganasan dan pembunuhan sesama manusia," katanya. Ini menyebabkan Idris makin serius memikirkan mengenai Islam yang membawa beliau akhirnya menjejakkan kaki ke masjid terbesar di kota London, London Central Mosque bagi mencari jawapan yang pasti. Ketika beliau sampai di masjid itu, kelihatan bekas penyanyi popular era 70-an, Cat Steven atau Yusuf Islam berada dalam satu kelompok yang terdiri daripada beberapa orang lelaki dan mereka seperti sedang membincangkan mengenai Islam. Tanpa membuang masa, beliau terus bertanya Yusuf: "Apa yang perlu saya lakukan untuk menjadi seorang Islam?

"
Yusuf menjawab seseorang itu hendaklah mempercayai kepada Tuhan Yang Satu, mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadan... Belum sempat Yusuf memberi penjelasan, Idris terus memotong kata-kata Yusuf dengan berkata: "Saya percaya kesemua itu, malah saya pernah berpuasa di bulan Ramadan."

"Jadi apa yang awak tunggu lagi, apa yang menahan awak memeluk Islam setelah anda telah mengenali dan mengakui kebenaran Islam?" tanya Yusuf. "Saya masih belum mempunyai niat yang kuat untuk memeluk Islam," jawab Idris. Namun perbualan mereka terhenti di situ apabila azan berkumandang menandakan waktu solat. Sejurus mereka selesai solat dengan menoleh ke kiri dan kanan memberi salam, Idris terus menerpa Yusuf dan meminta beliau membimbingnya melafazkan syahadah. Alhamdulillah dengan bantuan Yusuf, bekas paderi ini tunduk dan sujud kepada Islam dengan para jemaah dan Masjid Central London menjadi saksi pengislaman Idris. Sambil bergenang air mata, Idris mengucapkan syukur atas limpah hidayah yang telah dikurniakan oleh Allah. Kini beliau meyakini sepenuhnya Allah tidak pernah mendustai dan ternyata di sebalik ayat dari surah al-Maidah tidak sahaja benar kerana ternyata ayat itu begitu memberikan kesan langsung kepada dirinya. Dari aspek pendidikan, Idris adalah pemegang Ijazah Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Manchester, Ijazah dalam Sacred Theology dari Universiti Pontifical of Saint Thomas Aquinas di Rom yang melayakkan beliau bertugas sebagai guru Bahasa dan Paderi sebelum memeluk Islam. Lebih banyak lagi mengenai Idris dapat anda kenali dan ketahui dengan melayari http:www.idristawfiq.com

Thursday, July 23, 2009

Syaaban 1430H



Pendahuluan


Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).


Fadhilat Syaaban


Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.


Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:


• Memperbanyakkan puasa sunat Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."


• Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)


• Bertaubat Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."


Sebagai persiapan untuk menghadapi Ramadan apakah amalan yang disunatkan Rasulullah pada Syaaban? Sebenarnya pada bulan ini Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa hingga diriwayatkan Baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan itu.

Aisyah berkata:

“Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berbuka dan Baginda berbuka hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada Syaaban.” (Hadis riwayat al-Bukhari)


Selain amalan berpuasa, tiada hadis sahih menunjukkan Baginda SAW mengkhususkan amalan tertentu sempena Syaaban. Namun, amalan sunah lazimnya dilakukan tanpa mengkhususkan waktu tertentu seperti membaca al-Quran, mengerjakan solat sunat, berzikir dan berdoa.

Mengenai hikmah Rasulullah SAW meningkatkan amalan puasa pada Syaaban, Al-Hafiz Ibn Hajar mengulas dalam Fath al-Bari: “Hikmah lebih tepat untuk dikatakan berhubung persoalan ini, iaitu meningkatkan amalan puasa pada Syaaban adalah seperti yang disebutkan hadis dengan darjat lebih sahih daripada hadis terdahulu.

Hadis diriwayatkan oleh al-Nasaai dan Abu Daud, disahihkan Khuzaimah daripada Usamah bin Zaid katanya: “Aku bertanya Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah, Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat al-Nasaai)

Oleh itu, sewajarnya kita menyambut kedatangan Syaaban dengan menggandakan ibadat puasa. Namun, ada beberapa perkara sering diperdebatkan mengenai puasa pada Syaaban iaitu adakah dibolehkan berpuasa pada keseluruhan Syaaban dan larangan berpuasa selepas pertengahan bulan ini.
Ulama berbeza pendapat sama ada dibenarkan berpuasa sepanjang Syaaban. Sebahagian pendapat mengatakan kadangkala Nabi SAW berpuasa pada keseluruhan bulan Syaaban dan ada kalanya baginda berpuasa pada sebahagian besar Syaaban saja.

Sebahagian lain berpendapat Baginda tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan lain menurut kalendar hijrah kecuali Ramadan al-Mubarak. Manakala Baginda hanya berpuasa sebahagian besar hari pada Syaaban. Perbezaan pendapat ini disebabkan wujudnya hadis Nabi SAW yang menunjukkan Baginda pernah berpuasa sepanjang Syaaban dan ada pula yang menidakkannya.

Daripada Abu Salamah, Aisyah berkata: “Nabi SAW tidak berpuasa pada satu bulan yang lebih banyak berbanding Syaaban. Sesungguhnya Baginda berpuasa sebulan penuh.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Bagaimanapun, hadis di atas seakan-akan bercanggah dengan hadis daripada Aisyah yang menurutnya Nabi SAW hanya berpuasa sepanjang bulan pada Ramadan.

Bagi menghilangkan percanggahan yang timbul, Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa hadis menunjukkan Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh Syaaban sebenarnya hanya menunjukkan baginda biasa berpuasa sebahagian besar pada bulan itu.

Tambahnya lagi: “Imam al-Tirmizi menukilkan daripada Ibn al-Mubarak katanya: Menurut bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar daripada sesuatu bulan, maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan seseorang itu solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain.”

Selanjutnya berkaitan perbezaan pendapat ini, Al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan: “Tetapi, jelas sekali pendapat ini (boleh berpuasa sebulan penuh ketika Syaaban) seakan-akan terpaksa. Namun, pendapat paling sahih adalah pendapat pertama, iaitu Baginda hanya berpuasa sebahagian besar daripada Syaaban.

Ia dikuatkan lagi melalui riwayat Abdullah bin Syaqiq yang dinukilkan daripada Aisyah serta dikeluarkan oleh al-Nasaai yang berbunyi: “Baginda SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh sejak datang ke Madinah selain Ramadan.”

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis yang melarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum puasa Ramadan bermula. Menurut Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan sekali-kali salah seorang antara kamu semua mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari kecuali orang yang sudah biasa berpuasa pada hari itu. Justeru, dia bolehlah berpuasa pada hari itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Tanggapan dilarang berpuasa pada Syaaban selepas memasuki hari ke 15 bersandarkan kepada hadis Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika memasuki pertengahan Syaaban, janganlah kamu semua berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sebenarnya tidak wujud percanggahan antara hadis melarang berpuasa selepas pertengahan bulan Syaaban dan hadis yang membenarkannya. Jumhur ulama membolehkan berpuasa pada Syaaban diteruskan walaupun selepas pertengahan bulan.

Jelas di sini Nabi SAW berpuasa pada sebahagian besar Syaaban. Justeru, marilah kita hidupkan Syaaban dengan memperbanyakkan ibadah puasa.

Wednesday, July 22, 2009

Sedikit Renungan Kepada Ku

JANGAN BERPUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH..


Dalam apa jua situasi kita dalam kehidupan, kita dipesan agar terus mengharapkan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala.. Dengan rahmatNYA, perjalanan hidup ini lebih terjamin untuk menuju jalan yang lurus..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...